Viktor Axelsen terpaksa menarik diri daripada final acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Eropah selepas jaguh Denmark itu disahkan positif COVID-19, sekali gus memberikan kemenangan percuma buat rakan senegaranya, Anders Antonsen, malam tadi.

Pemain nombor dua dunia itu didapati positif dalam ujian saringan pertama selepas menewaskan wakil Finland, Kalle Koljonen, Sabtu lalu dan ia bermakna dia perlu menjalani ujian saringan kedua.

Axelsen, yang sepatutnya melakukan penampilan final kelimanya tahun ini, ternyata kecewa dengan perkara itu.

"Amat jelas saya tidak berada dalam keadaan baik buat masa ini memandangkan saya amat menginginkan untuk beraksi dalam final tetapi saya juga mahu pulang ke rumah untuk bersama Natalia dan Vega yang amat saya rindui.

"Buat masa ini, saya hanya berharap dapat melaluinya secepat mungkin dan kembali ke rumah apabila selamat untuk saya ke sana," kata Axelsen, yang perlu menjalani baki 13 hari secara kuarantin di hotel.


A post shared by Viktor Axelsen 安赛龙 (@viktoraxelsen)