Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei, menyifatkan prestasi di atas gelanggang di Kejohanan Badminton Dunia 2022 yang akan membuka tirai esok jadi cabaran terbesar buatnya dengan harapan tidak mengulangi kesilapan sebelum ini, mudah hilang fokus.

Juara Terbuka Jerman 2022 itu, turun dalam penampilan keduanya di Kejohanan Dunia, meraih bye di pusingan pertama dan berkemungkinan berdepan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan ketiga.

"Cabaran itu bukan mengenai keputusan sebaliknya adalah persiapan dan persembahan dalam gelanggang, itu lebih penting," kata Sze Fei.

"Ini merupakan kejohanan yang penting dan mahu elak daripada membazir serta mahu memastikan persembahan terbaik di sana nanti."
Sementara wakil beregu wanita meningkat naik, Teoh May Xing pula berada dalam keadaan terbaik untuk beri cabaran di kejohanan dunia selepas mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan ketika beraksi di Masters Malaysia bulan lalu.

Pemain ranking ke-33 dunia itu bukan hanya mahu mengulangi persembahan cemerlang seperti di Terbuka dan Masters Malaysia sebelum ini, di mana mereka melakar kejutan ke atas pasangan ranking lebih baik, malah Mei Xing mahu balas dendam ke atas wakil Korea Selatan, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong yang menang ke atas pasangan negara dalam pertemuan kali terakhir.