Chow Mei Kuan, yang membentuk gandingan beregu wanita nombor satu Malaysia bersama Lee Meng Yean, akur perlu bangkit segera daripada prestasi hambar dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Mereka bukan sahaja gagal menyumbang mata di peringkat kumpulan menentang Jepun dan Taiwan dalam suku akhir, malah beraksi di bawah kemampuan sebenar.

Keputusan itu memaksa barisan kejurulatihan untuk memisahkan mereka bagi pertemuan semula dengan Jepun dalam aksi separuh akhir, Sabtu lalu, yang menyaksikan Mei Kuan sekadar memerhati dari bangku simpanan.

"Kami mempamerkan peningkatan dalam setiap kejohanan tetapi ada baik dan buruk buat kami.

"Pemain tidak akan berada di kemuncak prestasi pada setiap hari.

"Kami akan menilai semula persembahan kami," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Rizal Memorial Coliseum, Manila.

Secara keseluruhan, skuad beregu juga merindui pengaruh Yap Cheng Wen dan pemain paling senior, Vivian Hoo, yang tidak dapat mengikuti kejohanan ini atas faktor kecederaan.

"Kami perlu akur dan berdepan realiti. Kami perlu meneruskan perjuangan."

Editor: Shaiful Shamsudin