Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng berharap mampu mengekalkan momentum perlawanan yang terbaik dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China 25 April ini sepertimana yang dia lakukan di Terbuka Singapura tempoh hari.

Kian Meng bersama pasangannya, Lai Pei Jing merupakan satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir Terbuka Singapura sebelum tewas kepada beregu dari Thailand.

Menyifatkan prestasinya semakin meningkat ketika ini, Kian Meng tidak menolak mampu untuk mempertaruhkan aksi lebih baik di Wuhan yang menyaksikan mereka bakal berdepan pesaing dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Shin Seung Chan.

Pasangan ini hanya ada masa lebih kurang seminggu untuk melakukan persiapan selepas pulang dari Singapura, Ahad lalu.

"Saya berharap kami mampu mara ke pusingan suku akhir, saya akan cuba yang terbaik. Saingan kami di pusingan pertama agak sukar, tetapi ia tidak akan mematahkan semangat kami," kata Kian Meng.

Bagaimanapun, Kian Meng masih perlu waspada akan kecederaan lutut kirinya itu.

Ini kerana, selepas berakhir saingan BAC, skuad negara akan berdepan cabaran di Piala Sudirman pula pada Mei depan dan penting baginya untuk memastikan kecederaan itu tidak bertambah teruk.

"Selepas tamat saingan di Wuhan, kami memiliki tempoh selama dua minggu untuk membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi Piala Sudirman."