Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi apabila bakal menentang pemain pilihan kedua dari Jepun, Akane Yamaguchi dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, 25-30 April ini.

Jin Wei sedang menggandakan usaha dalam sesi latihan selepas pulang dari Terbuka Singapura yang menyaksikan pemain berusia 17 tahun itu tewas seawal pusingan kedua.

Sehubungan itu, dia mahu mendapatkan kembali ketahanan mental dan fizikal yang sedikit terjejas ketika ini selain berharap untuk sekurang-kurangnya mara lebih jauh di Wuhan.

"Saya mahu mempersiapkan mental dengan lebih bagus," katanya. "Saya (sebelum ini) tidak beraksi baik untuk kejohanan berturut-turut dalam jarak masa yang dekat.

"Tetapi ketika ini saya rasa keadaan saya lebih baik. Saya tiada berasa letih."

Dalam Kejohanan Asia tahun lalu, Jin Wei tewas kepada pemain sama, Yamaguchi, 16-21, 21-23, pada pusingan pertama.