Kejayaan Wan Arif Wan Junaidi dan Haikal Nazri memenangi kejohanan senior mereka dalam Terbuka Austria membukti keberkesanan program remaja di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini memiliki perancangan untuk memastikan gandingan itu tidak tenggelam di sebalik rentetan kisah duka cita bakat beregu lelaki Malaysia itu.

Perkembangan Arif-Haikal menerusi Program Tangkis Junior terbitan Astro Arena menyerlahkan permata beregu lelaki dimiliki Malaysia.

Dan kejayaan di Austria membuktikan mereka bakat yang mampu digilap untuk mengiringi perjuangan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang merupakan beregu lelaki nombor satu Malaysia.

Baru diserap ke skuad senior Mac lalu, Arif-Haikal menewaskan pemain berpengalaman seperti Mads Kolding dari Denmark yang pernah menghuni ranking nombor empat dunia dalam laluan muncul juara Ahad lalu.

"Saya mahu berkongsikan kejayaan ini bersama program remaja negara kerana mereka telah menampilkan permainan yang cemerlang dengan asas yang kukuh. Persembahan mereka kali bukan hanya cemerlang dalam aksi separuh akhir, namun dalam aksi separuh akhir ketika bertemu lawan yang berpengalaman," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Dan Choong Hann turut menegaskan adalah satu kerugian untuk tidak mempercepatkan proses perkemabangan mereka bersama skuad senior.

Antara perancangan awal untuk mereka memenuhi potensi secepat mungkin adalah dengan mempertaruhkan kudrat mereka untuk Sukan SEA Hanoi hujung tahun ini.

"Mereka masih lagi memiliki banyak kejohanan yang boleh disertai bagi mengilap lagi mutu permainan mereka dan berkemungkin Arif-Haikal akan menyertai saingan Sukan SEA bagi mempercepatkan pengalaman diperoleh sebelum beraksi di pentas lebih tinggi," katanya lagi.