Dibelenggu kecederaan pemain tonggak dan tekanan mempertahankan kejuaraan Piala Thomas, bekas perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen, berkongsi apa yang sedang dihadapi kem Denmark.

Axelsen pada awal tahun ini terpaksa menjalani pembedahan ke atas buku lali kirinya dan hanya kembali beraksi April lalu sebelum menjuarai Kejohanan Eropah.

Selain Axelsen, seorang lagi wakil Denmark, Jan O Jorgensen, sedang bergelut mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

Ini di samping tidak menyenaraikan langsung pakar beregu, Carsten Mogensen, atas sebab kesihatan yang tidak didedahkan.

"Saya melalui tempoh persiapan yang bagus sebelum ini, jadi saya yakin mampu beraksi di peringkat tertinggi. Saya tidak sabar untuk beraksi di sini dan saingan Piala Thomas sentiasa menjanjikan pengalaman yang terbaik," ujar Axelsen.

Di sebalik cabaran itu semua, Denmark tidak menampakkan sebarang petanda mereka akan merelakan kejuaraan untuk dirampas begitu sahaja.

"Terdapat banyak pasukan yang bagus tetapi saya melihat China dan Indonesia akan memberi cabaran getir, begitu juga Jepun. Bagaimanapun, ini adalah Piala Thomas dan apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang," katanya lagi.