Pelari terpantas dunia, Usain Bolt, berpeluang untuk mencipta sejarah ketika menyertai acara 4x100 meter dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF) pada awal bulan ini di London.

Bagaimanapun, dia terlepas peluang itu selepas mengalami kecederaan yang terpaksa membuatkannya melupakan saingan itu dan tidak berjaya dalam percubaan untuk meraih pingat emas yang ke-12 dalam Kejohanan Dunia.

Pelari dari Jamaica itu mendedahkan masalah hamstring yang menyebabkannya mengalami kekejangan otot ketika di London.

“Sedih untuk mengatakan bahawa saya mengalami masalah dengan hamstring kiri dan ia memerlukan tiga bulan untuk pulih,” ujar pemenang lapan kali Olimpik itu.

“Saya jarang mendedahkan laporan perubatan kepada umum, namun disebabkan terlalu ramai yang mempersoalkan sejauh mana tahap kecederaan, saya terpaksa melakukannya.

“Terima kasih kerana terus menyokong dan saya akan berehat dan meneruskan dengan program pemulihan,” tambahnya.