Dua wakil perseorangan lelaki negara, Chong Yee Han dan Soo Teck Zhi, yang tersingkir dalam pusingan kelayakan Terbuka Malaysia menimbulkan tanda tanya apakah keberkesanan skuad projek khas yang ditubuhkan benar-benar membuahkan hasil?

Meskipun kedua-dua pemain ini turun menentang lawan yang lebih senior dan berpengalaman, ia tidak seharusnya dijadikan alasan.

Skuad projek khas ditubuhkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Januari lalu, untuk membantu pemain persorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menggapai impiannya mengecap kejuaraan dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti, di samping mengumpulkan lima orang pemain perseorangan untuk bersama-sama berlatih dan membentuk mereka menjadi juara seperti Chong Wei.

Biarpun baru empat bulan ditubuhkan, ia masih belum memberikan petanda meyakinkan, ditambah pula kekalahan Yee Han dan Teck Zhi di peringkat awal Terbuka Malaysia.

"Saya masih cuba yang terbaik dalam Terbuka Malaysia, tetapi tekanan telah mengawal diri saya dan gagal menghasilkan aksi yang terbaik," kata Yee Han

Teck Zhi, yang bertemu Liew Darren di peringkat kelayakan, tewas 21-15, 21-10 manakala Yee Han pula tewas kepada Jeon Hyuk Jin dari Korea Selatan, 21-12, 19-21, 21-16.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil skuad projek khas, Lim Chi Wing, mengiringi Chong Wei dalam pusingan pertama.

"Menang atau kalah adalah perkara biasa di dalam sukan. Tetapi perkara yang penting adalah mempelajari setiap kekurangan yang berlaku di dalam perlawanan," kata Teck Zhi.

Skuad projek khas ke Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland pada 21-27 Ogos ini diketuai oleh Hendrawan dan dibantu oleh Tey Seu Bock.

Salah satu objektifnya adalah untuk barisan pemain yang disenaraikan dapat memberikan sokongan kepada Chong Wei dalam membuat persiapan terbaik ke Kejohanan Dunia.