Hanya kata-kata azimat Datuk Wira Lee Chong Wei menjadi pembakar semangat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, yang akur tentang jurang besar di antara dirinya dan rakan sepelatih yang lain untuk menghadapi kalendar 2020 yang mencabar.

2020 bakal menjadi tahun yang sukar buat Zii Jia, dengan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu kini menjadi satu-satunya sandaran bagi acara perseorangan lelaki memandangkan tiada lagi pemain lain dalam kem kebangsaan yang mempunyai kemampuan setara dengannya.

Tekanan dan tanggungjawab yang besar perlu dipikul pemain berusia 22 tahun itu memandangkan beberapa kejohanan utama bakal berlangsung seperti Piala Thomas dan seterusnya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Chong Wei telah memberikan nasihat kepada saya. Beliau memberitahu acara perseorangan adalah berbeza jika dibandingkan dengan beregu. Jika mahu bergelar juara, anda harus melakukannya sendiri dan harus menangani sebarang tekanan seorang diri," kata Zii Jia.

Tugas besar dan berat menanti barisan kejurulatihan perseorangan lelaki negara untuk membentuk seorang lagi sandaran dalam acara itu memandangkan untuk melahirkan pemain seperti Zii Jia memerlukan tempoh lebih kurang dua tahun hasil garapan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek.

"Saya tidak akan berfikir banyak walaupun acara perseorangan tetap menjadi keutamaan dan saya sedia untuk memikul tanggungjawab ini. Saya turut mahu mencipta kemenangan."



Editor: Ammar Hakim