Barisan kejurulatihan perseorangan negara akan menerima apa sahaja keputusan Datuk Lee Chong Wei berhubung kariernya tetapi mereka berpandangan jaguh badminton negara itu masih ada misi yang perlu diselesaikan sebelum menggantung raket.

Chong Wei tiba di tanah air dari Glasgow, Scotland malam tadi susulan penyingkiran awal di Kejohanan Dunia.

Bagaimanapun, dia yang jelas memaparkan mimik muka kecewa, tidak menawarkan sebarang perkembangan berkaitan persaraan.

Pemain berusia 34 tahun itu diiringi jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, yang berasakan masih ada peluang buat Chong Wei kembali bangkit.

"Kami membenarkan Chong Wei untuk berehat seketika. Kami menasihatkan kepada dia untuk tenang, mengetepikan segala emosi dan tidak melakukan apa-apa keputusan buat masa ini," kata Hendrawan.

Kehadiran semula Datuk Misbun Sidek diharap berupaya membawa keajaiban kepada kempen Chong Wei di Glasgow tetapi harapan itu tidak kesampaian.

Hendrawan bertegas bahawa kekalahan pusingan pertama Chong Wei adalah satu kejutan, namun pujian wajar diberikan kepada lawannya, Brice Leverdez dari Perancis.

"Berdasarkan persiapan, Chong Wei berada di tahap terbaik. Kami tidak menjangkakan kekalahan pada pusingan pertama. Dia memang memiliki masalah untuk membiasakan diri dalam pusingan pertama," tambah Hendrawan.