Pemain badminton profesional negara, Mohamad Hafiz Hashim, menyatakan sokongan kepada cadangan merujuk semula Datuk Misbun Sidek untuk kembali berada dalam barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Misbun diakui antara jurulatih yang disegani di dalam negara biarpun sudah lama meninggalkan jawatan di BAM.

Dia merupakan insan yang membentuk jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Justeru, usaha yang dilaksanakan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, ketika ini untuk memujuk Misbun kembali ke badan induk itu dilihat wajar bagi membantu menaikkan kembali prestasi badminton negara.

"Mungkin apabila Misbun kembali dalam BAM, dengan pengalaman dan program latihan yang dia sedia ada, dapat membantu pemain perseorangan lelaki, khususnya," katanya.

Sebagai pemain yang pernah dilatih oleh Misbun, Hafiz mengakui jurulatih kelahiran Banting itu mempunyai pendekatan yang berkesan dalam membentuk pemain bertaraf dunia.

Soalnya kini terpulang kepada Misbun sama ada terbuka hati untuk kembali menjalin semula kerjasama dengan BAM.

Sungguhpun sekumpulan wartawan menunggu di hadapan rumah Misbun, pagi semalam, namun tiada kelibat Misbun untuk mendapatkan reaksi lanjut.