Setahun tanpa kejohanan kompetitif, perseorangan badminton lelaki negara, Cheam June Wei, bertekad mengembalikan prestasi dan momentum terbaiknya seperti dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari tahun lalu.

Kejohanan Masters Orleans di Perancis, dua minggu lagi, bakal menjadi kejohanan pertama buatnya musim ini apabila turun dengan misi penting untuk memperbaiki kedudukan rankingnya.

Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu sempat melakar kejutan dalam Kejohanan Berpasukan Asia awal tahun lalu dengan menewaskan pemain ranking ketujuh dunia, Jonathan Christie.

Bagaimanapun, pemain yang berada di ranking ke-78 dunia itu menyifatkan kekuatan mental menjadi elemen yang cukup mustahak buat setiap pemain selepas berehat panjang.

June Wei, yang bakal membuka tirai perlawanan menentang pemain ranking ke-52 dunia dari Brazil, Ygor Coelho, berkata kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly: "Jurulatih berpesan bahawa aspek mental adalah perkara paling utama sebab kami sudah lama tidak beraksi termasuk akan menghadapi tekanan dan mula banyak fikir.

"Kalau boleh saya nak ke separuh akhir mahupun perlawanan akhir tetapi dalam undian, saya mungkin berdepan Srikanth Kidambi selain menghadapi perlawanan yang sukar sepanjang laluan.," katanya.





June Wei turut mengakui musim ini tidak mudah buatnya ekoran beberapa status kejohanan belum terjamin berikutan kekangan COVID-19.

Lantas, setiap kejohanan adalah penting buatnya supaya tidak keciciran mata demi melonjakkan rankingnya.

"Saya menyasarkan untuk menduduki senarai 30-20 terbaik dunia, saya harap dalam setiap kejohanan yang disertai, saya boleh capai sesuatu yang berbeza.

"Kalau saya hanya menyertai tiga kejohanan tetapi tidak melakukan sesuatu, maka ia tidak akan mengubah ranking.

"Mungkin saya perlu dapatkan satu trofi," katanya.