June Wei sedia tepis tanggapan negatif

Penulis Jemputan
April 19, 2019 05:00 MYT
Perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, bersedia untuk menepis tanggapan umum bahawa dia mampu menggalas cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Asia di sebalik ranking dunia yang kurang memuaskan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat pilihan mengejutkan dengan menyenaraikan June Wei berbanding menghantar prospek utama, Lee Zii Jia, yang kini bergelut dengan masalah prestasi.
Sebagai pemain di ranking ke-82 dunia, June Wei mengakui laluan yang bakal diharunginya di Wuhan, China nanti penuh berliku kerana perlu mengatatasi dua pemain, Niluka Karunaratne dari Sri Lanka dan Amir Jabbari dari Iran dalam pusingan kelayakan Kumpulan B.
Jika berjaya, pemain Thailand, Sitthikom Thammasin, menantinya dalam pusingan pertama.
"Niluka mampu memberikan saingan kepada saya. Jika melangkah ke pusingan utama, saya yakin dapat mengatasi wakil Thailand, Thammasin," kata June Wei.
Percaturan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, menyenaraikan June Wei mungkin berdasarkan kemampuan pemain berusia 22 tahun itu untuk mencipta kejutan.
Awal Januari lalu, June Wei nyaris menyingkirkan bekas juara Sukan Olimpik, Lin Dan, dalam suku akhir Masters Thailand sebelum tewas dalam set penentuan.
Skrip sama juga berulang dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong, Mac lalu, apabila dia turut berjaya mengheret pemain ke-11 dunia, Kanta Tsuneyama, sebelum tunduk 13-21, 23-21, 15-21.
"Jurulatih membantu saya memperbaiki kelemahan serta meningkatkan lagi kualiti kelebihan saya di atas gelanggang," ujarnya.