Pemain perseorangan negara, Cheam June Wei, berpandangan barisan pemain muda dalam skuad perseorangan negara membuktikan Malaysia memiliki masa depan yang cerah.

Purata usia empat perseorangan lelaki negara dalam kempen Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina ini adalah 21.5 tahun.

Senario itu bukan sahaja meremajakan skuad negara untuk sama-sama membentuk kematangan bagi jangka panjang.

Tetapi ia turut memberikan mereka persefahaman luar biasa memikul tanggungjawab berat membuktikan kemampuan sebagai masa depan badminton Malaysia.

"Kami memiliki semangat sepasukan yang kuat kerana jurang umur di antara setiap pemain tidak terlalu jauh, jadi kami mahu berusaha membuktikan yang terbaik buat Malaysia," kata June Wei.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang akan memainkan peranan sebagai perseorangan kedua negara, sudah bersedia menyumbangkan mata apabila turun beraksi nanti.

Kejohanan Berpasukan Asia ini akan menjadi penampilan pertama June Wei dalam kempen berpasukan sejak diserap masuk ke skuad senior lima tahun lalu.

"Singapura dan Taiwan memiliki barisan pemain yang berkualiti dan penarikan diri mereka daripada kejohanan ini memberikan kelebihan kepada Malaysia."



Editor: Ammar Hakim