Skuad perseorangan lelaki negara mempamerkan peningkatan mendadak sepanjang bulan lalu, di mana taruhan utama, Lee Zii Jia, mencipta kejutan apabila mengungguli Kejohanan Seluruh England di Birmingham.

Seminggu kemudian, giliran bakat muda negara, Ng Tze Yong, pula mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Terbuka Poland.

Situasi itu pasti memberikan tekanan buat perseorangan lelaki paling senior di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), iaitu Cheam Jun Wei, selepas dia sekadar mara ke pusingan ketiga Masters Orleans di Perancis hujung bulan lalu.

Dalam satu temu bual Astro Arena, June Wei berkata: "Kejayaan Tze Yong dalam Terbuka Poland merupakan sesuatu yang amat bagus kerana dia pasti dapat membantu Malaysia dalam Piala Thomas.

"Mereka juga memberikan saya motivasi untuk terus berlatih dengan gigih dan melakukan yang terbaik."

Sebagai rekod, aksi di Perancis itu merupakan penampilan kompetitif pertama June Wei sejak 13 bulan lalu di mana kali terakhir dia beraksi adalah dalam Kejohanan Berpasukan Asia 2020.