Jurulatih skuad judo negara, Marjan Abdullah, menganggap cabaran anak didiknya lebih baik dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tetapi tidak menafikan menyimpan sedikit kedukaan kerana penantian emas masih belum dapat ditamatkan.

Sukan SEA Manila 1981 merupakan kali terakhir atlet judo negara meraih emas dalam temasya dwitahunan itu.

Lantas, peluang selaku tuan rumah, ditambah penantian 36 tahun, dilihat sebagai medan terbaik bagi menamatkan kemarau itu.

Dalam aksi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam, nyata hanya sedikit perbezaan (satu mata) yang menjadi pemisah apabila Chong Wei Fu tumpas kepada Mohammad Syaiful Raharjo dari Indonesia bagi saingan bawah 66kg lelaki.

Namun, pingat perak yang diraih Wei Fu itu sedikit mengubati kekecewaan kem negara selepas edisi Singapura dua tahun lalu mereka sekadar memperoleh lima gangsa.

"Walaupun saya tidak berpuas hati kerana gagal meraih emas, sekurang-kurangnya kejayaan Wei Fu layak ke final mengubati kekecewaan itu.

"Ia mencapai sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) untuk layak ke final kerana kita tidak pernah melakukannya," kata Marjan.

Selain pencapaian yang dilakukan oleh Wei Fu, skuad judo negara turut membawa pulang tiga gangsa menerusi Mohd Farhan Uzair Mohd Fikri, Nik Norlydiawati Nik Azman serta Nor Izzatul Fazlia Mohammad Tahir.

Farhan dan Izzatul mengekalkan pencapaian yang diraih dua tahun lalu.

"Saya akan belajar daripada kesilapan saya untuk tidak leka pada saat-saat akhir. Tetapi saya sangat berpuas hati dengan aksi saya kerana dapat memberikan yang terbaik," kata Farhan yang beraksi dalam kategori bawah 73kg.

Sementara itu, Marjan menambah undian yang kurang memihak wakil negara turut menjadi sedikit penghalang, namun tetap berasakan ada peningkatan dalam persembahan keseluruhan yang dipamerkan.

"Undian kita banyak yang berdepan lawan yang meraih pingat emas di Singapura, dua tahun lalu. Jadi pusingan pertama agak sukar sehingga atlet kita kurang agresif dalam pusingan kedua."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.