Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, melahirkan kerisauan tempatnya dalam skuad Piala Thomas berkemungkinan terjejas ekoran tewas dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan 2018, yang juga menyaksikan juara bertahan, Lim Chi Wing, tersingkir.

Joo Ven merupakan antara tonggak penting dalam skuad negara ketika kempen kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, bulan lalu.

Selain diletakkan sebagai pilihan keempat, Joo Ven juga mempunyai kedudukan ranking lebih baik dengan berada di tangga ke-62 dunia berbanding lawan, R. Satheistharan, di ranking ke-230.

Tewas kepada pemain ranking bawahan dalam kejohanan tempatan, Joo Ven mengakui kedudukannya kini agak berbahaya memandangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan teragak-agak merombak pemain bagi menghadapi Piala Thomas, Mei depan.

"Saya mahu menang dalam perlawanan ini tetapi gagal mempamerkan aksi cemerlang," kata Joo Ven.

Turut tersingkir adalah juara bertahan, Chi Wing, kepada pemain ranking ke-355 dunia, Yeoh Seong Zoe.

Chi Wing yang pernah merangkul gelaran juara kebangsaan sebanyak dua kali sejak 2016 dipaksa berhempas-pulas dalam aksi tiga set dan akhirnya tersungkur dengan keputusan 21-19, 21-23, 13-21.

"Saya telah memberikan yang terbaik tetapi gagal meraih kemenangan," kata Chi Wing.