Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, mengesahkan pemain beregu wanita, Tee Jing Yi, akan digandingkan dengan Soong Fie Cho dan ujian pertama mereka adalah di Cabaran Antarabangsa Thailand, 1 Mei depan.

Mereka sudah mula menjalani latihan bersama sejak tamat kempen dalam Terbuka Malaysia, 9 April lalu.

Bagi Frost, pertukaran pasangan sudah menjadi kebiasaan dalam acara beregu dan Jing Yi dan Fie Choo dilihat mempunyai potensi berdasarkan pengalaman masing-masing yang luas di arena badminton antarabangsa.

"Kami telah membuat beberapa perancangan buat Fie Choo-Jing Yi untuk menghadapi kejohanan-kejohanan antarabangsa bagi menguji persembahan mereka," katanya.

Jing Yi mula beralih ke acara beregu wanita pada awal tahun 2017 selepas kurang konsisten sebagai pemain perseorangan.

Digandingkan dengan Joyce Choong, Jing Yi mula menampakkan keserasian dan meningkatkan kembali keyakinan dan persembahannya di dalam gelanggang.

Bagi Fie Cho pula, kecederaan lutut sejak awal tahun 2016 membuatkannya sudah lama tidak beraksi, ditambah pula ketiadaan pasangan, Amelia Anscelly, yang membuat keputusan mengejutkan untuk meninggalkan BAM awal bulan ini.

"Saya berharap untuk memberikan yang terbaik kerana Fie Choo sudah setahun tidak beraksi," kata Jing Yi.