Bintang remaja negara, Goh Jin Wei, memandang kepada perseorangan wanita nombor satu dunia, Tai Tzu Ying, sebagai contoh terbaik dalam memperincikan corak permainannya.

Ketika mula menempa nama, saiz dan ketinggian Jin Wei menjadi tanda tanya terhadap kemampuannya untuk bersaing di pentas senior.

Bagaimanapun, perseorangan Jepun, Akane Yamaguchi, yang lebih rendah daripada Jin Wei membuktikan tidak mustahil untuk menjadi pemain terbaik dunia.

Begitupun, Jin Wei berasakan dia pemain berbeza berbanding Yamaguchi dan lebih gemar dengan aksi agresif mirip Tzu Ying.

"Saya lebih agresif untuk menyerang manakala dia (Yamaguchi) lebih tenang.

"Saya lebih cenderung kepada corak permainan Tzu Ying. Saya berpendapat permainan menyerang dan bertahannya tidak mempunyai kelemahan ketara.

"Untuk itu, sukar untuk mencuri mata daripadanya," katanya.

Ranking dunia yang dikemaskini menyaksikan Jin Wei kembali memecah kelompok 30 terbaik dunia di tangga ke-28, kedudukan terbaik kariernya setakat ini.

Selain menegaskan kepentingan untuk kekal dan memperbaiki kedudukan ranking dunia, Jin Wei turut fokus kepada saingan Siri Super Premier Terbuka Indonesia selepas ini.

"Saya harap dapat mengumpul mata dalam Terbuka Indonesia."