Ketika senario sukan badminton negara lebih tertumpu kepada penstrukturan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan, Jeremy Gan, yang merupakan bekas pemain dan jurulatih negara, kian membina empayarnya di Jepun.

Individu berusia 42 tahun itu dilihat sebagai watak penting dalam peningkatan prestasi skuad badminton Jepun, terutama dalam acara beregu campuran, selepas empat tahun berkelana ke Negara Matahari Terbit itu.

Menerusi satu perkongsian dengan wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, Jeremy mendedahkan beberapa aspek penting yang dilihatnya menjadi faktor perkembangan Jepun dalam menjadi sebuah entiti gergasi badminton dunia.

"Ada pencarian bakat di Jepun, di mana kami akan mengadakan pemilihan untuk memilih atlet terbaik setiap hujung tahun.

"Pencarian bakat perlu dilakukan dahulu sebelum kami mencari cara untuk meningkatkan tahap mereka daripada segi strategi, kemahiran dan mental sewaktu di dalam skuad kebangsaan.

"Apa yang penting adalah komitmen kami dan kepercayaan pemain, itulah perkara utama.

"Saya mencuba untuk memberikan mereka saranan dan apa yang penting, mereka perlu mempercayainya.

"Faktor kedua adalah kerjasama di antara jurulatih dan pasukan. Kita perlu bekerjasama kerana ia bukan melibatkan usaha seorang sahaja," katanya.

Ditanya apa yang membezakan pemain Jepun dengan atlet dari negara lain, Jeremy menambah: "Saya rasa perbezaannya adalah pemain di sana lebih berdikari.

"Kemudian daripada segi usaha. Apabila mereka mahu melakukan sesuatu, mereka tidak banyak merungut.

"Memang adakalanya akan terdengar rungutan tetapi sebaik mereka memulakannya, mereka akan menamatkannya dengan sepenuh hati.

"Saya rasa itu mungkin memang sikap atau budaya Jepun, di mana mereka memang sudah terdidik dengan cara seperti itu sejak dari kecil.

"Jadi, saya fikir itulah yang membezakan mereka dengan negara lain," katanya lagi.