Langkah beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke separuh akhir final Jelajah Dunia Akhir 2021 sedikit terganggu dengan kekalahan pada aksi terakhir Kumpulan A.

Ppeng Soon-Liu Ying disajikan permainan kemas pasangan nombor satu Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, yang bermati-matian mahu menamatkan permainan dalam straight set

Kemenangan dalam dua perlawanan awal kumpulan, sedikit sebanyak menghadirkan keyakinan buat Peng Soon dan Liu Ying untuk berdepan cabaran sebenar daripada Watanabe-Higashino yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo.

Bagaimanapun, langkah Peng Soon-Liu Ying mula serba tidak menjadi menuju ke pertengahan set pertama dengan Watanabe-Higashino mula menampilkan corak permainan cemerlang sebelum memenangi set pertama 21-11.

Dalam set kedua, pemenang pingat perak Rio 2016 itu cuba memperkemas permainan dengan memimpin beberapa mata awal namun gagal kekal konsisten sekaligus tewas 21-12.

Bagaimanapun, Peng Soon dan Liu Ying perlu menanti undian semula untuk mengesahkan lawan mereka di separuh akhir nanti.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing juga gagal menutup tirai saingan kumpulan dengan kemenangan apabila tewas kepada Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 21-15, 21-17.

Wakil tunggal negara dalam saingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga gagal menamatkan aksi kumpulan dengan nota kemenangan, walaupun cuba menghadirkan kebangkitan keatas pasangan Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Ini selepas beberapa siri kebangkitan juga cuba dijelmakan Yew Sin-Ee Yi di set pertama sebelum akur tewas 21-19.

Wakil negara itu bangkit memenangi set kedua 21-13 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Sayangnya, Yew Sin dan Ee Yi hanya mampu bertahan sehingga mata ke-10, ketika Hoki dan Kobayashi terus merekod mata demi mata sebelum menang 21 - 10.