Gandingan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, jelas lebih berpengalaman apabila berjaya mengalahkan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-13 dalam saingan Jelajah Akhir Dunia BWF.

Peng Soon dan Liu Ying mengakui kemenangan itu mengembalikan keyakinan mereka apabila bakal bertemu dengan pilihan utama kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

"Perlawanan ini membantu meningkatkan tahap keyakinan kami. Selepas mengharungi tiga minggu yang agak padat namun kemenangan yang diperoleh cukup baik bagi kami," kata Liu Ying.

"Kami berdepan lawan yang cukup mengenali kemampuan masing-masing dan mereka agak tergesa-gesa ketika beraksi sekaligus membuka ruang untuk kami mencari mata demi mata bagi memastikan kemenangan," kata Peng Soon.

Dalam pada itu, nasib beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak begitu baik apabila tewas kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Kim So-yeong-Kong Hee-yong 21-14, 21-14.

Thinaah dan Pearly mengakui pihak lawan mereka lebih agresif ketika bermain yang menyaksikan mereka gagal untuk mengawal arus perlawanan sehingga menyebabkan beberapa kesilapan mudah sering berulang.

Imej: @badmintonphoto_official