Kehangatan misi memastikan slot ke Jelajah Akhir BWF semakin sengit apabila kejohanan kelayakan terakhir iaitu Terbuka Indonesia bakal membuka tirai 23 November ini.

Gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, mengenai penambahbaikan yang dilakukan selepas kekalahan mereka kepada gandingan dari Jepun ketika Masters Indonesia.

"Selepas tewas dalam saingan Masters Indonesia, kami telah memperbaiki mutu permainan menjelang saingan Terbuka Indonesia dan berharap untuk melakukan yang terbaik," kata Pearly.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas buat kali keempat ketika menentang gandingan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam saingan Masters Indonesia.

Bagaimanapun, kejayaan mereka mara ke aksi suku akhir membuahkan hasil apabila meraih sebanyak 6050 mata dan kini menghuni ranking kelapan bagi Jelajah Akhir Bunia BWF.

Saingan Terbuka Indonesia bakal menyaksikan Pearly-Thinaah bertemu dengan wakil dari pada Sepanyol, Clara Azurmendi dan Beatriz Corrales.

"Kami akan bertemu lawan dari Sepanyol itu buat pertama kali, jadi kami perlu memastikan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dan memberikan tumpuan kepada kemampuan sendiri," kata Pearly.

Sementara itu, beregu campuran professional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, diundi menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Soon Huat-Shevon mengakui ia bakal menjadi satu perlawanan yang sengit bagaimanapun tetap optimis untuk meraih kemenangan setelah berjaya mencari rentak permainan mereka.

Senada dengan Soon Huat dan Shevon bagi meraih kemenangan adalah perseorangan profesional lelaki, Liew Daren yang diundi menentang pilihan keenam kejohanan, Jonathan Christie.