Tiada istilah selesa buat kesemua pemain badminton perseorangan lelaki yang disenaraikan ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, meskipun mereka ke sana sebagai pemain kategori A.

Empat pemain perseorangan lelaki negara akan ke Indonesia di atas tiket kategori A, iaitu perbelanjaan mereka akan ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Namun, Datuk Misbun Sidek yang bertindak sebagai ketua jurulatih berkata ia tidak bermakna peluang mereka sudah terjamin kerana masih ada tempoh dua bulan sebelum temasya itu berlangsung.

Katanya, dia masih boleh membuat pertukaran jika terdapat pemain yang gagal mencapai prestasi memuaskan dalam tempoh latihan mahupun mengalami kecederaan pada saat-saat akhir.

"Sudah tentu saya akan minta tukar. Sekarang ini, kami menyenaraikan pemain sebelum pengesahan akhir.

"Pemilihan dibuat juga berdasarkan panel jurulatih dan sekiranya ada perubahan, saya akan ubah," kata Misbun.

Dua pemain yang berada dalam senarai simpanan Misbun adalah Soong Joo Ven dan pemain muda, Cheam June Wei.

"Joo Ven sudah ada peningkatan dalam latihan, begitu juga June Wei. Mereka adalah pemain simpanan saya buat masa sekarang.

"Oleh kerana kita ada beberapa bulan lagi, kami mengambil inisiatif untuk menyiapkan pemain-pemain ini," katanya lagi.

Sementara itu, sesi latihan skuad negara hari ini menyaksikan kehadiran Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee, yang melakukan lawatan dan sesi bersuai kenal dengan pemain-pemain yang berasal dari negeri itu.