Sesi latihan di Akademi Badmiton Malaysia, Bukit Kiara kelmarin menyaksikan kemunculan bekas pemain badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.

Kehadirannya adalah sebagai pembantu kepada jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, untuk berkongsi pengalaman dan buah fikiran dengan barisan pemain negara dalam persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur dan juga Kejohanan Dunia di Glasgow.

"Saya bercakap dengan pemain bukan bererti saya ini jurulatih tetapi pengalaman saya yang sudah-sudah yang mana kalau mereka rasa saya ini boleh membantu mereka. Kami mahu tunjukkan laluan atau jalan kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Jalani berkata barisan pemain negara menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan di bawah bimbingan Misbun.

"Dalam empat minggu Misbun di sini, saya melihat komitmen pemain sudah mula bagus, daripada segi disiplin dan kecergasaan.

"Saya bercakap dengan Misbun sebelum ini, memberitahunya bahawa perubahannya amat ketara," katanya.