Pengumuman kalendar 2021 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain di luar kelompok elit, antaranya Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

BWF bertindak memansuhkan pusingan kelayakan untuk kejohanan bertaraf super 300 dan 500 , manakala status super 100 masih tertakluk kepada pindaan.

Sehubungan itu, tidak banyak pilihan kejohanan bertaraf rendah yang sesuai untuk pemain seperti Iskandar apatah lagi kejohanan bertaraf itu di benua Asia hanya ada dua, iaitu Cabaran Antarabangsa Vietnam dan Osaka.

Lebih perit, wang kemenangan untuk setiap kejohanan juga bakal dikurangkan.

"Semalam saya tengok ada peraturan baru (yang diperkenalkan BWF) dengan tiada peringkat kelayakan buat pemain untuk kejohanan bertaraf super 300 dan 500.

"Agak sulit buat pemain yang di ranking 60 ke bawah. Saya tidak tahu mengapa BWF buat macam itu.

"(Kejohanan bertaraf itu) hanya akan bermula Mac depan iaitu di Switzerland dan Jerman. Kami belum tahu situasi apakah kena kuarantin atau tidak (kalau ke luar negara).

"Sebagai profesional, saya perlu merujuk kepada pengurus terlebih dahulu apakah BWF perlukan.

"Kalau ke Eropah dan dikuarantin, saya rasa tidak berbaloi," katanya.




Iskandar Zulkarnain ditemui dalam perlawanan pertunjukan bersama seorang lagi pemain profesional, Misbun Ramdan Misbun, sempena pelancaran Top Glove Purple League Pro-AM di Putrajaya, hari ini.

Kejohanan, yang bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 11 itu, akan menampilkan 16 pemain perseorangan lelaki, 16 beregu lelaki dan 16 beregu campuran bermula 29 Disember hingga 3 Januari 2021.

Ia diadakan khusus untuk pemain-pemain profesional berentap dalam tiga kategori iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki dan campuran dengan Liew Darren dikhabarkan bakal beraksi sebagai pemain beregu dalam kejohanan ini.

Kejohanan ini boleh dianggap sebagai pengubat duka buat kebanyakkan pemain profesional selepas hampir setahun mereka kemarau aksi sengit sejak COVID-19 mula menular Mac lalu.

Kesemua pemain ini akan merebut hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM100,000.