Pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, tampil memberi penjelasan dengan mendakwa dia menjadi mangsa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sehingga digantung 20 tahun oleh badan induk itu selepas didapati bersalah terlibat dalam kes mengatur perlawanan.

Bekas juara remaja dunia itu berpandangan BWF tidak telus dengan pendekatan mereka sepanjang mengendalikan kes tersebut.

"Saya memohon maaf kepada setiap warga Malaysia kerana keputusan BWF terhadap saya. Saya semestinya mengecewakan rakyat Malaysia dan mencemarkan nama Malaysia.

"Saya tegas menyatakan bahawa pertuduhan terhadap saya adalah tidak wajar dan keputusan yang mendapati saya bersalah juga tidak wajar," katanya dalam satu sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Zulfadli ditemani keluarga dan pasukan guaman yang diketuai Datuk Joshua Kevin.

Bermula dengan sesi bicara pertama pada 2017 bagi rujukan insiden Grand Prix Terbuka Brazil 2016, Zulfadli akur keliru dengan siasatan yang dikendalikan pegawai daripada Scotland Yard memandangkan dia kurang fasih dalam Bahasa Inggeris dan keliru dengan penterjemah yang disediakan.

Selain itu, katanya, telefon bimbitnya dirampas tanpa pemahaman prosedur sebenar.

Ini disusuli dengan tafsiran kurang tepat daripada perbualan aplikasi Whatsapp di antara dia dan Tan Chun Seang yang menjadi sandaran kepada kes BWF.

Menurut Zulfadli dan pasukan guamannya, BWF gagal membuktikan perincian pertuduhan membabitkan pengaturan perlawanan dalam tujuh pertuduhan ke atasnya.

"Pada tahun 2017, BWF menghantar surat kepada BAM memaklumkan bahawa mereka mahu temuduga saya. Saya bersetuju tetapi saya meminta agar ayah saya dibenarkan ikut kerana dia lebih fasih dalam Bahasa Inggeris dan boleh menafsir percakapan ke tahap pemahaman saya.

"Namun, permohonan itu ditolak dan saya telah ditemuduga dalam Bahasa Inggeris bersama seorang penafsir tetapi apa yang disoal oleh seorang 'Mat Saleh' bernama Paul Scotney. Apabila ditafsirkan soalannya, saya tidak tidak begitu faham.

"Malah, ada kalanya 'Mat Saleh' itu kata tidak perlu ditafsirkan dalam Bahasa Melayu. Saya tidak begitu faham dengan loghat Scotland," katanya lagi.

Zulfadli berdepan 31 kesalahan dan hukumannya ialah penggantungan selama 20 tahun serta didenda USD25,000 (RM98,162) sementara Chun Seang pula digantung 15 tahun dan didenda USD15,000 (RM58,897).


Kenyataan penuh daripada Zulfadli