Indra Wijaya jawab punca Lee Zii Jia gagal pertahan gelaran Seluruh England

Muzaffar Musa
Mac 21, 2022 13:00 MYT
Indra Wijaya berpuas hati dengan persembahan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, biarpun gagal mempertahankan mahkota gelaran Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham minggu lalu.
Zii Jia terkandas dalam separuh akhir kejohanan itu selepas tewas tipis 13-21, 21-12, 19-21 kepada pemain meningkat naik dari India, Lakshya Sen.
Menurut Indra, kedua-dua pemain mempamerkan prestasi di tahap tertinggi dalam perlawanan itu cuma sedikit kesilapan Zii Jia sewaktu mendahului menjadi punca langkahnya terhenti di peringkat berkenaan.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, jurulatih itu berkata: "Saya cukup berpuas hati dengan persembahan Zii Jia dalam Seluruh England kali ini. Seperti yang kita lihat, dia telah mempamerkan aksi terbaiknya.
"Saya rasa (dalam separuh akhir), kedua-dua pemain sudah bermain di tahap terbaik dan sudah pasti kekalahan ini tidak sedap tetapi saya rasa Lakshya Sen juga layak untuk menang.
"Cuma sedikit kesilapan sewaktu Zii Jia mendahului, di mana dia kekurangan fokus dan kehilangan beberapa mata, menjadi punca permainannya berubah selepas itu," katanya.
#badminton #Lee Zii Jia #Badminton Seluruh England #Indra Wijaya