Skuad hoki wanita negara terpaksa akur kepada kehebatan juara Asia, India, apabila tewas 1-4 walaupun berjaya memberi tentangan sepanjang perlawanan Kumpulan A, Sukan Komanwel di Pusat Hoki Gold Coast, hari ini.

Turun tanpa tekanan, Malaysia selaku pasukan di ranking 22 dunia sedar ranjau bertemu India yang mahu bangkit selepas dikejutkan Wales 2-3 dalam perlawanan pertama mereka semalam.

India tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol sulung menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Gurjit Kaur pada pada minit keenam.

Skuad negara hampir-hampir menyamakan kedudukan lapan minit kemudian tetapi pukulan ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, dapat dinafikan oleh penjaga gol India.

Malaysia akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Nuraini Abdul Rashid daripada pukulan sudut penalti, namun India bingkas mempimpin kembali perlawanan, sekali lagi hasil sumbangan Gurjit yang juga melalui pukulan sudut penalti.

India meleburkan api perjuangan skuad negara apabila ketua pasukan, Rani Rampal, meledak gol ketiga, sebelum Lalremsiami melengkapkan kemenangan 4-1 India tiga minit sebelum tamat.

"Bagi saya, secara keseluruhan pemain bermain dengan baik tetapi mungkin fokus kurang diberikan dalam suku terakhir.

"Jadi, pihak lawan menghukum kami dengan peluang-peluang yang mereka ada," kata Siti Noor Amarina.