Perak dan PDRM mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak selepas menduduki dua tangga teratas Kumpulan A dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu di Bukit Jalil hari ini.

Perak melangkah selaku juara kumpulan selepas bangkit mengikat Selangor 2-2 di Stadium Hoki Nasional 2 untuk mengumpulkan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Selangor terlebih dahulu di depan menerusi gol pukulan sudut penalti Faisol Rozihan seawal minit kedua sebelum menggandakan kelebihan itu menjelang ke suku ketiga hasil jaringan padang Fikri Amer Runnizar pada minit ke-29.

Bagaimanapun, Saiful Sharil Saiful Bahri memulakan kebangkitan Perak menerusi gol padang pada minit ke-30 sebelum jaringan pukulan sudut penalti Shazril Irwan Nazli dalam suku keempat memastikan pasukan juara bertahan itu meraih satu mata berharga untuk bergelar juara Kumpulan A.

Dalam pada itu, aksi di Stadium Hoki Nasional pula menyaksikan PDRM mengiringi Perak ke pusingan kedua selepas menewaskan Sabah 2-1.

Sabah terlebih dahulu berada di depan hasil sentuhan Salman Sudirman pada minit ke-31 sebelum dua pukulan sudut penalti Baljit Singh menemui sasaran, masing-masing pada minit ke-43 dan 51, untuk memastikan pasukan bimbingan Saiful Azhar Affandi itu ke pusingan kedua dengan enam mata.



Keputusan Kumpulan B:
Negeri Sembilan 1-3 Melaka

Keputusan Kumpulan C:
ATM 5-5 Pulau Pinang