Selepas hampir dua bulan sejak memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz, kini akan memulakan misi barunya menjelang Kejohanan Angkat Berat Dunia di Tashkent, Uzbekistan hujung tahun ini.

Atlet berusia 30 tahun itu dilaporkan akan kembali berlatih di Jasin, Melaka bagi memperkuatkan aspek fizikal dan mental demi pingat emas keduanya dalam kejohanan utama tahun ini.

Ditanya perasaannya untuk kembali ke Malaysia selepas bergelar jutawan, Hidilyn berkata kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi: "Sebenarnya, saya juga tidak tahu. Saya tidak akan membawa wang yang banyak ke sana. Sebagai seoang atlet, kami sentiasa menjalani latihan asas dan saya rasa, wang mungkin boleh membantu saya mengejar impian tetapi ia bukannya sentiasa mengenai wang.

"Kerana apa yang saya lakukan adalah sesuatu yang saya cintakan, saya cintakan sukan angkat berat."

Hidilyn juga berkata bahawa dia masih belum tahu apa yang akan dilakukannya di Melaka kerana ia hanya akan diketahui sebaik dia tiba di sana tetapi tidak akan keberatan untuk menyumbangkan sesuatu buat komuniti akan berat di negeri berkenaan.

"Saya belum tahu sehingga saya tiba di sana. Saya harap saya dapat membantu komuniti (angkat berat) di sana. Saya harap dapat membantu golongan muda di sana dengan menjadi mentor mereka. Ia sebagai satu tanda membalas jasa buat komuniti angkat berat di sana. Malaysia boleh.

"Ketika ini, jika saya kekal di sini (Filipina), saya tidak dapat berlatih dengan sebaiknya. Itulah kebenarannya.

"Jika saya benar-benar mahu mengeluarkan prestasi terbaiki, saya perlu keluar daripada zon selesa.

"Saya mahu kembali melakukan perkara-perkara yang saya lakukan sebelum memenangi pingat emas Sukan Olimpik," katanya.