Datuk Lee Chong Wei berdepan pertarungan paling penting dalam hidupnya tetapi tidak bermakna ini merupakan penghujung kepada satu pengembaraan luar biasa.

Jaguh perseorangan lelaki negara itu sedang berjuang dengan masalah kesihatan berkaitan penafasan dan jurulatihnya, Hendrawan, mendedahkan Chong Wei seorang pemain yang kental demi mencapai impiannya sebagai atlet.

"Dalam aksi separuh akhir Terbuka Indonesia, Chong Wei telah memberitahu saya mengenai keadaan dirinya (sambil menunjukkan bahagian leher).

"Saya memberitahunya agar menarik diri daripada perlawanan itu tetapi dia masih mahu mencuba beraksi terlebih dahulu.

"Sebagai jurulatih, saya tidak pernah melihat Chong Wei begitu letih," kata Hendrawan.

Dalam masa sama, Hendrawan menuntut Chong Wei agar mengutamakan kesihatannya dan kembali sebaik disahkan cergas di sebalik keinginannya untuk menjayakan misi besar tahun ini.

"Saya berpesan kepadanya supaya fokus kepada pemulihan terlebih dahulu.

"Ini kerana dia benar-benar kecewa kerana berasakan ada sasaran penting (tahun ini), terutama Sukan Asia.

"(Misi) Kejohanan Dunia masih ada pada tahun depan, sebaliknya dalam Sukan Asia, peluangnya lebih sukar pada empat tahun akan datang.

"Jadi, saya mengingatkannya bahawa dia masih ada sasaran akhir, iaitu Sukan Olimpik 2020," kata Hendrawan.