Aspirasi Datuk Seri Norza Zakaria meluaskan pengaruh badminton negara dengan bertanding jawatan presiden Badminton Asia membangkitkan tanda tanya ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bergelut menangani krisis prestasi.

Selain memegang jawatan sebagai presiden BAM, Norza juga adalah presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Malah, Badminton Asia juga menuntut seorang presiden yang aktif ketika mereka bertanggungjawab meluaskan pelbagai inisiatif pembangunan sukan itu di di benua ini.

Dalam waktu BAM masih terkapai-kapai mencari masa depan tanpa Datuk Lee Chong Wei, adakah Norza memiliki keyakinan pemegang taruh lain untuk memegang tiga porfolio penting dalam waktu sama.

"Ia bagus untuk Norza dipilih sebagai presiden Badminton Asia tetapi adakah beliau memiliki masa yang secukupnya berkhidmat dalam tiga badan induk yang berbeza?" soal bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj.

James berasakan Norza perlu membimbing individu yang boleh meneruskan kesinambungannya sebagai pemimpin tertinggi BAM jika beliau merancang untuk melepaskan jawatan sebagai presiden.

"Norza perlu mendapatkan individu yang boleh menggantikannya sebagai presiden BAM atau MOM jika merancang untuk melepaskan jawatannya," katanya.

Sementara itu, perkembangan itu turut membangkitkan rasa bimbang dalam kalangan komuniti badminton tempatan.

Bagi bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim, Norza masih belum selesai merealiasikan visinya untuk BAM.

Jika ditakdirkan Norza diberi mandat mengepalai Badminton Asia, 25 Mei ini, maka Roslin berpandangan Norza perlu melepaskan salah satu jawatan yang sedang disandangnya ketika ini.

"Seharusnya Norza perlu melepaskan salah satu jawatan. Jika beliau dipilih sebagai presiden Badminton Asia, beliau kini memimpin tiga badan induk yang besar dan sememangnya masa dan komitmen diperlukan untuk beliau menjalankan tugas dengan baik," kata Roslin.

Sementara itu, Norza hanya memberi bayangan beliau akan melepaskan jawatan presiden BAM selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 andai terpilih menjadi presiden Badminton Asia.

"Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Jika tiba masa saya dilantik selaku presiden Badminton Asia, ia merupakan tugas yang hampir sama seperti presiden BAM," kata Norza.