Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh, membuktikan kewibawaannya apabila menjuarai Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Grand Prix (GP) Manavgat di Turki semalam.

Walaupun ia merupakan perlumbaan pertamanya dalam jelajah Eropah sejak setahun lalu -- terpaksa berehat panjang berikutan pandemik COVID-19 -- Harrif membuktikan kayuhannya masih belum berkarat untuk menjuarai perlumbaan sejauh 149 kilometer itu.

Kejayaan itu juga sudah pasti membakar semangat TSG untuk meraih lebih banyak kejayaan sepanjang musim ini.

"Saya pun tidak sangka (muncul juara) selepas setahun saya tidak berlumba tetapi saya bangkit balik dalam perlumbaan hari ini dan membuktikan bahawa rakyat Malaysia, rakyat Terengganu boleh menang juga di Eropah," katanya selepas perlumbaan itu.

"Terima kasih banyak kepada rakan sepasukan, kru-kru yang memang memberikan 100 peratus.

"Saya juga dengan semangat baru dan Alhamdulillah ia rezeki kita hari ini," katanya.