Bekas pemain perseorangan negara, Hafiz Hashim, percaya pembangunan pemain-pemain muda harus dilakukan lebih awal bagi mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Kegagalan pemain-pemain mara jauh dalam Kejohanan Dunia Glasgow bulan lalu serta skuad badminton negara gagal memberikan impak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sekali lagi mencetus pelbagai persoalan.

Hafiz menyuarakan pendapatnya bahawa aspek pembangunan pemain-pemain muda harus dipergiatkan dengan lebih agresif.

"Kejohanan Dunia dan Sukan SEA berlangsung pada waktu yang sama dan Datuk Lee Chong Wei memilih untuk beraksi di Scotland ternyata meninggalkan ruang kosong dalam skuad badminton Sukan SEA. Bagaimanapun, Malaysia gagal meraih keputusan yang diinginkan dalam kedua-dua kejohanan," katanya.

"Program pembangunan pemain-pemain muda harus dilakukan lebih awal, sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun yang lalu bagi mengenal pasti pemain perseorangan yang baru," katanya.

Hafiz turut menjelaskan bahawa kekalahan Chong Wei kepada pemain Perancis, Brice Leverdez bukan kerana memandang rendah kepada lawannya tetapi tekanan yang harus dilalui merupakan antara penghalangnya.

"Saya percaya Chong Wei telah membuat persiapan yang baik bagi menghadapi Kejohanan Dunia. Sebagai bekas pemain badminton, (saya berasakan) tekanan yang dihadapi oleh Chong Wei adalah faktor kekalahannya."