Sasaran tujuh pingat emas secara keseluruhan kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast memperkuatkan lagi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membawa pulang tiga emas menerusi berpasukan campuran, beregu lelaki dan beregu wanita.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, tetap dengan sandaran utama kepada tiga acara itu yang mampu menghadirkan kilauan pingat emas, sekali gus membantu kontinjen mencapai sasaran tujuh pingat emas yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, semalam.

Beliau menekankan bahawa beregu campuran dan perseorangan lelaki adalah bonus sekiranya mampu mencipta kejutan untuk bergelar juara.

Tidak keterlaluan untuknya bersikap realistik terhadap pasangan wanita, Vivian Hoo dan Chow Mei Kuan, apabila gelaran naib juara Cabaran Antarabangsa Vietnam tempoh hari membuktikan keupayaan mereka.

"Beregu campuran, lelaki dan wanita adalah harapan utama menyumbang pingat emas tetapi dalam masa sama, Datuk Lee Chong Wei juga berpeluang mencipta kejayaan untuk negara" kata Norza.

Sementara itu, persetujuan Lim Khim Wah, untuk menyertai latihan percubaan bersama BAM disambut baik Norza, dengan pemain profesional negara itu akan mula melapor diri pada Isnin depan manakala gandingan Arif Latif dan Nur Azriyn Ayub pula pada 15 April depan.

"Kami telah memanggil tiga nama ini untuk menjalani latihan dalam tempoh tiga bulan dan jika mereka menampilkan prestasi yang cemerlang, tidak mustahil mereka turut tersenarai dalam skuad Piala Thomas," ujarnya.