Pemain wanita nombor satu negara, Soniia Cheah, tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast dengan mengetepikan bintang muda, Goh Jin Wei, yang sebelum ini berada dalam senarai awal.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mesyuarat ahli majlis BAM, hari ini.

Menurut Norza, prestasi semasa Soniia pada masa ini lebih baik berbanding Jin Wei selepas mendapat maklum balas ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock.

Tiada perubahan lain dalam senarai pemain yang akan ke Gold Coast, dengan perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei, akan mengetuai barisan pemain negara.

"Soniia berhak beraksi dalam Sukan Komanwel selepas menjadi juara (Kejohanan Kebangsaan).

"Bagi, saya ia adalah keputusan tepat.

"Jadi, saya melihat Jin Wei perlu tampil lebih bertenaga memandangkan kebanyakan pemain perseorangan wanita negara menunjukkan peningkatan," ujar Norza.

Dalam perkembangan lain, bekas jurulatih negara pada 2013, Paulus Firman, dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki untuk membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit, dan akan melaporkan diri awal bulan depan.

Norza juga mengumumkan Tan Boon Heong secara rasmi menolak tawaran BAM untuk beraksi dalam Piala Thomas ekoran penajaan peribadinya bercanggah dengan penajaan BAM.

"Kami telah menyenaraipendekkan calon yang boleh memberi komitmen untuk membantu BAM dengan kadar segera.

"Mungkin ada pemain yang layak menyertai BAM tetapi hanya boleh datang selepas Piala Thomas.

"Setakat ini, inilah calon-calon terbaik untuk Piala Thomas" tambahnya.