Empat pingat emas merupakan cerminan sebenar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap kemampuan skuad negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April ini.

Badan badminton negara itu sebelum ini meletakkan sasaran tiga emas sebagai sasaran dalam membantu kontinjen negara di Gold Coast.

Perincian emas itu adalah kepada acara berpasukan campuran, beregu campuran dan beregu lelaki. Emas keempat dijangka hadir menerusi wakil tunggal perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei.

"Dalam perseorangan lelaki, kita juga mempunyai persaingan sengit dari India. Seperti yang saya cakap, tiga (emas) adalah lebih realistik.

"Saya tahu Chong Wei akan memberikan persembahan terbaik tetapi saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sementara itu, pengurus skuad badminton Sukan Komanwel negara, Mohd Taupik Hussain, turut memberi pandangan yang sama.

"Cabaran kuat dalam temasya sukan itu adalah dari India. Dalam kategori individu, England juga mempunyai kekuatan.

"Daripada segi persiapan, Alhamdulillah, semuanya sudah bersedia. Sasaran empat pingat emas itu boleh dicapai," ujarnya.

BAM hari ini terus mendapat suntikan penajaan, kali ini menerusi kerjasama sehingga 2019 dengan Sen Heng yang akan menawarkan bantuan menerusi kelengkapan barangan elektronik.