Wakil negara dalam acara 100 meter T12, Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Afiq Ali Hanafiah, yakin mampu merebut tempat di podium apabila mencatat peningkatan ketika saingan Terbuka Perak, minggu lalu.

Catatan 11.42 saat yang dilakukannya telah mengatasi catatan peribadinya dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur tahun lalu apabila meraih masa 11.45 saat.

Itu bukan penampilan terbaiknya kerana sasaran utama Afiq di Gold Coast nanti adalah sekurang-kurangnya 11.30 saat.

Namun, kejohanan terakhir dalam Terbuka Perak baru baru ini menambahkan lagi keyakinannya untuk menyumbang pingat buat negara walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) hanya menyasarkan pentas final buat Afiq.

"Perkara itu dilihat sebagai aspek positif menjelang Sukan Komanwel dan saya rasa keadaan serta prestasi saya agak baik. Cuma, saya perlu menambah persiapan," kata Afiq.

Hanya faktor keletihan yang akan mengganggu keyakinan Afiq ketika ini apabila tiket penerbangannya adalah pada 9 April sementara dia dijadualkan bertanding tiga hari kemudian pada 12 April.

"Rehat mungkin agak sukar untuk saya raih kerana agak lambat bergerak ke Gold Coast. Sampai sahaja di sana, saya perlu menyesuaikan keadaan sebelum aksi sebenar," tambahnya.