Gandingan China padam hasrat Tang Jie-Ee Wei ke final

Ammar Hakim
November 12, 2016 02:47 MYT

Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam final apabila tewas kepada pasangan China, He Jiting-Du Yue, 21-14, 21-11 dalam separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol, hari ini.

Wakil negara itu melayakkan diri ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan India, R. Satwiksairaj dan G. Kuhoo, 13-21, 21-12, 21-19.
Berdepan beregu pilihan pertama kejohanan, Tang Jie-Ee Wei banyak melakukan kesilapan, sekali gus tewas set pertama 21-14.
Tang Jie telah bertemu dengan beregu China ini ketika bergandingan dengan M. Thinaah dalam Kejohanan Berpasukan Remaja pada 9 November lalu, namun dia gagal menemui ramuan untuk mematahkan asakan mereka apabila tewas set kedua 21-11.
Seorang lagi wakil negara, Lee Zii Jia, akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki bertemu Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia untuk merebut slot final.