Morten Frost akan meninggalkan Malaysia sebagai pengarah teknikal dengan hati yang berat tatkala dia masih menaruh impian untuk menyaksikan Malaysia kembali memenangi Piala Thomas dan juga pingat emas sulung Sukan Olimpik.

"Ia sesuatu yang tidak boleh diambil mudah.

"Seperti yang saya katakan, (peletakan jawatan saya) adalah bersifat peribadi dan akan kekal sebegitu.

"Ketika ini, mereka perlu mengembalikan kehebatan beregu negara ke landasan sebenar.

"Datuk Lee Chong Wei merupakan pemain yang menakjubkan, dia mampu bangkit dengan mudah.

"(Kejayaan dalam) Olimpik di Tokyo masih tidak mustahil. Lihatlah betapa hampirnya mereka memenanginya sebelum ini sedangkan sebelum itu ramai yang tidak meletakkan harapan kepada mereka," ujar bekas bintang Denmark itu.

Dalam beliau mendiamkan diri berkenaan sebab-sebab peletakan jawatannya, terbit seribu persoalan apakah isu peribadi yang mendorong dia mengambil keputusan sedemikian.

"Ia adalah sulit. Saya tidak berkesempatan untuk memberitahunya kepada jurulatih-jurulatih lain kerana ini satu keputusan mengejut.

"Langkah ini juga membantu mempertahankan diri mereka kerana boleh jadi mereka akan dituduh memecahkan rahsia ini," katanya.

Bagaimanapun, Frost menegaskan barisan kejurulatihan negara memerlukan seorang pengarah teknikal untuk menggantikan tempatnya.

Perincian hari-hari terakhir Frost dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih dalam perbincangan, namun bayangan yang diberikan legenda ini, Malaysia mungkin destinasi berprofil tinggi terakhir dalam kerjayanya.

"Tidak ramai yang tahu betapa saya sayangkan negara ini.

"Malaysia sebuah negara yang hebat dan saya menikmati waktu hebat di sini.

"Selepas dua setengah tahun, saya berasa sedih, namun memutuskan cukuplah setakat ini sahaja."