Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menghidupkan peluang untuk ke separuh akhir Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF selepas menewasan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu- Kim Won Ho di Nimibutr Arena, Bangkok sebentar tadi.

Selepas tewas 19-21, 16-21 kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, semalam, hanya kemenangan dalam perlawanan kali ini dapat meneruskan perjuangan Yew Sin dan Ee Yi.

Dan mereka memberikan gambaran awal akan melaksanakan tanggungjawab itu apabila tidak pernah ketinggalan sebaik memenangi mata pertama untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Yew Sin dan Ee Yi memegang tiga mata akhir dalam set kedua ketika mendahului 20-17 tetapi mereka mencetuskan cemas apabila membenarkan lawan kembali mengikat kedudukan 20-20 sebelum kembali fokus untuk menamatkan pertarungan selama 40 minit itu dengan kemenangan 23-21 dalam set berkenaan.

Mereka seterusnya akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan berdepan beregu pilihan utama dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, esok.