Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, memperoleh kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF, selepas menewaskan pemain dari Perancis, Toma Junior Popov, secara set langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua sebentar tadi.

Turun selaku pilihan kedua kejohanan itu, Zii Jia menunjukkan bahawa dia berada di kelas berbeza berbanding lawan di ranking ke-33 dunia itu.

Hanya dua kali Popov dapat menyamakan kedudukan dalam set pertama, iaitu di kedudukan 4-4 dan 10-10, sebelum Zii Jia mengorak langkah meraih mata demi mata untuk menamatkannya dengan kemenangan 21-13.

Tentangan lebih baik disajikan Popov dalam set berikutnya yang kelihatan mampu menggoyahkan keyakinan Zii Jia tetapi sebaik jaguh negara itu membenarkan lawan mengikat kedudukan 17-17, dia tidak lagi memandang ke belakang untuk menamatkan pertarungan selama 47 minit itu dengan kemenangan 21-19 dalam set kedua.

Dengan kemenangan itu, Zii Jia kini menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan dua kemenangan menjelang perlawanan penting menentang pilihan ketiga dari India, Kidambi Srikanth, dalam perlawanan terakhir pusingan awal.

Sebagia rekod, Zii Jia menewaskan perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn, 21-15, 21-16 untuk meraih mata pertamanya semalam.



*Kredit foto: Facebook BAM