Hasrat untuk melihat beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mara ke perlawanan akhir Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada gandingan pilihan kedua dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dalam aksi separuh akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali sebentar tadi.

Dalam aksi Kumpulan B sebelum ini, wakil negara itu, yang merupakan pilihan keempat kejohanan, tewas 19-21, 21-12, 10-21 kepada lawan berkenaan untuk akur layak ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan tersebut dan mereka sekali diundi untuk bertemu dalam penentuan ke final hari ini.

Malangnya, usaha untuk mengubah skrip daripada pertemuan pertama itu tidak kesampaian selepas Yew Sin dan Ee Yi tewas 18-21 dalam set pertama.

Pada ketika Hoki dan Kobayashi kian menyerlah dalam set kedua, Yew Sin dan Ee Yi pula terbelenggu dengan siri kesilapan sendiri untuk akhirnya akur melepaskan tiket ke final dengan kekalahan 15-21 selepas 39 minit bertarung.

Hoki dan Kobayashi, dalam pada itu, akan mencongak perhitungan terakhir dengan bertemu beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.



*Kredit foto: Badminton Photo