Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata Aaaron Chia dan Soh Wooi Yik seharusnya menyasarkan kejuaraan dalam Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Bangkok, Thailand bulan depan.

"Mereka seharusnya memiliki motivasi dan memiliki kepercayaan diri untuk memenanginya, terutama dengan membawa reputasi sebagai juara dunia," kata Rexy kepada Stadium Astro.

"Kesemua yang akan ke sana juga akan percaya mereka juga mampu memenanginya.

"Kekuatan mental mereka akan menjadi kunci untuk mencapainya. Daripada segi kemahiran, teknik dan persiapan keseluruhan, mereka sudah bersedia tetapi mereka perlu percaya bahawa mereka sudah memiliki kesemua itu dalam diri mereka untuk melangkah sehingga ke akhirnya.

"Mereka akan satu kumpulan dengan Fajar Alfian-Rian Ardianto dan Takuro Hoki Yugo Kobayashi. Disebabkan itu mereka perlu menjadi kuat secara fizikal dan mental untuk mengatasi lawan terbaik ini," katanya.

Selain Aaron dan Wooi Yik, Malaysia turut akan diwakili Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam acara beregu lelaki selain dua beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, juga beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, bagi saingan di Bangkok berkenaan.