Pemain beregu wanita negara, M. Thinaah, tidak mahu alpa sambil masih belum berpuas hati ketika merumuskan kempen mereka dalam dua kejohanan terakhir, Master Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Mereka mara ke suku akhir dan pusingan 16 dalam saingan di Bali itu.

Begitupun, dia dan gandingannya, Pearly Tan, tetap membanggakan apabila meraih tiket Final Jelajah Dunia yang bermula di venue sama, Rabu depan.

"Kami kerap melakukan kesilapan mudah tapi masih mampu layak ke Final Jelajah Dunia, kami harap dapat pamerkan aksi terbaik.

"Bukan mudah untuk layak kerana matanya dikutip melalui kejohanan-kejohanan sebelum ini.

"Apapun, kami gembira kerana layak buat kali pertama," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.




Berdasarkan dua kejohanan terakhir, juara Terbuka Switzerland 2021 itu turut mengenalkan pasti aspek yang perlu digilap selepas ini iaitu kekuatan dan ketahanan dalam misi mencabar pemain dari luar negara.

"Kami belum berkesempatan untuk memperbaikinya sekarang. Ia perkara yang perlu kami tingkatkan selain mengelak melakukan banyak kesilapan mudah.

"Kami juga berdepan tekanan tetapi ia juga sesuatu yang kami perlu pelajari sebagai bekalan masa depan," katanya lagi.

Malaysia yang akan diketuai Lee Zii Jia mempunyai empat wakil kecuali kategori perseorangan wanita.

Kredit imej: badmintonphoto_official