Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu, sedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut antara pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bagi mencapai situasi menang-menang memandangkan Malaysia amat memerlukan kelibat pemain nombor satu negara itu untuk saingan penting seperti kelayakan Piala Thomas, Sukan Asia serta Sukan Komanwel.

Situasi itu mirip kepada insiden 1998, apabila Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa campur tangan dalam konflik tiga pemain Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Ismail Saman, yang keluar dari BAM ke Nusa Mahsuri, sekaligus tidak disenaraikan untuk menghadapi Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

"BAM dan Zii Jia cuba berusaha mencari jalan penyelesaian dalam hal ini. Kami tidak seharusnya mempertaruhkan karier pemain tersebut serta ranking Malaysia di pentas badminton dunia," katanya.