Sebastian Vettel akan kekal beraksi dalam saingan Formula 1 (F1) selepas sah menyertai Astion Martin bagi musim 2021.

Pasukan Racing Point akan dijenamakan semula kepada Aston Martin musim depan dan telah mengesahkan juara dunia empat kali, Vettel, akan mewakili mereka bermula tahun 2021.

Pemandu berbangsa Jerman itu terpaksa mencari pasukan lain selepas Ferrari mengesahkan bahawa kontraknya tidak akan dilanjutkan tahun depan.

Dia akan digantikan oleh pemandu baru pasukan Scuderia itu, Carlos Sainz.

Vettel akan menggantikan Sergio Perez -- yang mengesahkan akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini -- dan berpasangan dengan Lance Stroll.

"Saya gembira untuk akhirnya dapat berkongsi berita menarik ini berkenaan masa depan saya. Saya amat berbangga untuk mengatakan bahawa saya akan menjadi pemandu Aston Martin pada 2021," kata Vettel dalam satu kenyataan.

"Ia merupakan satu pengembaraan baru buat saya dengan sebuah syarikat kereta legenda. Saya amat tertarik dengan keputusan yang diraih pasukan ini tahun ini dan saya percaya ia akan semakin baik pada masa akan datang.

"Tenaga dan komitmen Lawrence (Stroll, pemilik pasukan) dalam sukan ini satu inspirasi dan saya percaya kami mampu membina sesuatu yang amat istimewa bersama-sama.

"Saya masih mempunyai rasa sayang yang amat banyak buat Formula 1 dan satu-satunya motivasi saya adalah untuk berlumba dari petak depan.

"Untuk melakukannya bersama Aston Martin merupakan kelebihan yang amat besar," katanya.