Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff, memberikan penjelasan mengapa Lewis Hamilton terpaksa menggantikan enjinnya dan rela dikenakan hukuman penalti kotak perlumbaan dalam saingan hujung minggu lalu.

Pemandu British itu dikenakan penalti 10 petak perlumbaan selepas mengetuai sesi kelayakan sehingga terpaksa menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam Grand Prix Turki, di mana rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, muncul juara manakala pesaing gelaran keseluruhan, Max Verstappen, menjadi pemandu kedua terpantas untuk kini berkelebihan enam mata di depan Hamilton.

Bagaimanapun, Wolff mendedahkan bahawa pasukannya tiada pilihan selain menggantikan Internal Combustion Engine (ICE) yang baru gara-gara isu melibatkan unit kuasa jentera hamilton.

Dia menjelaskan bahawa tiada sebarang niat taktikal berkenaan keputusan itu dan ia perlu dilakukan atas sebab teknikal.

"Kami terpaksa melakukannya," kata Wolff kepada Sky Sports.

"Kami menemui beberapa data berkenaan ICE yang tidak kelihatan baik dan DNF (gagal menamatkan perlumbaan) merupakan pembunuh sebenar dalam kejuaraan.

"Kami melihat sepanjang musim ini bahawa kami berdepan beberapa masalah kecil yang kami tidak berapa pasti dari mana datangnya dan bagaimana kesannya terhadap prestasi kami.

"Jadi, kami lebih sanggup menggunakan enjin baru kerana kami yakin ia mampu bertahan lebih lama.

"Saya fikir kami kini dapat mengesan dengan lebih baik punca utamanya dan ia merupakan sesuatu yang boleh berlaku dari semasa ke semasa, dan jika anda hanya mempunyai isu material, masalah pengeluaran, ini adalah perkara yang perlu anda pertimbangkan," katanya.